KUCHING: Perenang kebangsaan Bryan Leong Xin Ren mencipta rekod baharu dalam acara 50 meter (m) kuak kupu-kupu lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 sebanyak dua kali di Pusat Akuatik Pandelela Rinong hari ini.
Bryan, yang merupakan pelajar neurosains dan psikologi di King’s College London, memecahkan rekod SUKMA berusia 10 tahun milik Chan Jie yang mencatatkan 25.13 saat (s), dengan masa 24.81s pada peringkat saringan.
Perenang berusia 21 tahun yang mewakili Wilayah Persekutuan itu kemudian meraih pingat emas dengan catatan 24.46s, namun tidak dapat memperbaharui rekod kebangsaan miliknya, iaitu 24.08s, yang dicatatkan di AP Race London International 2024 pada Mei lalu.
Chris Chew Vi Min dari Pulau Pinang meraih perak dengan catatan 24.94s, sementara Bernie Lee Elle Yang dari Johor mendapat gangsa dengan masa 25.17s.
Bryan kemudiannya turut membantu Chong Xin Lin, Cham Yu Xiang, dan Lee Wei Wen untuk meraih pingat perak buat kontinjen Wilayah Persekutuan dalam acara 4×100 meter rampaian campuran, yang pertama kali dipertandingkan di SUKMA, dengan catatan masa 4:02.20s.
Pasukan Selangor yang terdiri daripada Teoh Kar Chuan, Andrew Goh, Lim Shun Qi, dan Khew Zi Xian mencipta sejarah dengan menjadi pemenang pingat emas pertama acara tersebut selepas mencatat masa 4:00.30s, meninggalkan pasukan tuan rumah yang diwakili oleh Jeff Chua Yu Yang, Hii Puong Wei, Magdalene Lau Ing Siew, dan Kelly Teo Yao dengan catatan 4:09.15s.
“Saya mensasarkan untuk memperbaharui rekod kebangsaan, namun saya tetap gembira dapat menyumbang emas kepada Wilayah Persekutuan dan memecahkan rekod temasya sebanyak dua kali. Saya akan cuba memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara 110m kuak kupu-kupu pada Khamis dan berusaha meraih pingat dalam acara 4x100m gaya bebas esok,” katanya kepada pemberita.
Bryan, yang meraih lima pingat emas dan satu perak pada edisi lepas, hanya dibenarkan menyertai dua acara individu dan dua acara berganti-ganti berdasarkan peraturan temasya yang mengehadkan penyertaan bagi mereka yang mewakili negara di Sukan Komanwel dan Sukan Asia.
Bryan telah beraksi di Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Sukan Asia Hangzhou.
Sementara itu, Hii Puong Wei memecahkan rekod dalam acara 200m kuak lentang lelaki dengan catatan masa 2:06.59s untuk meraih emas. Wakil Wilayah Persekutuan, Lee Boon Wei, mencatatkan 2:11.32s untuk meraih perak, sementara Aslan Adnan dari Selangor meraih gangsa dengan masa 2:11.44s.
Wilayah Persekutuan membolot empat daripada sembilan pingat emas yang dipertandingkan hari ini, diikuti dengan tiga perak dan satu gangsa. Selangor meraih dua emas, tiga perak, dan dua gangsa, manakala tuan rumah mendapat dua emas dan dua gangsa, diikuti Pahang dengan satu emas.