
TUARAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 11.45 tan serbuk ketum dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Tuaran. Operasi pada kira-kira jam 6 pagi itu dijalankan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tuaran berdasarkan maklumat risikan.
Pemeriksaan terhadap premis dan sebuah lori menemukan 11,450 kilogram serbuk daun ketum yang telah diproses serta dibungkus. Bahan berkenaan dipercayai disediakan untuk diedarkan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuk ketum itu dianggarkan bernilai RM1.145 juta. Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan pula melebihi RM1.4 juta.
Empat individu, terdiri daripada tiga lelaki berusia antara 23 hingga 46 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun, ditahan bagi membantu siasatan. Kesemua mereka didapati negatif dadah, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.




