
MELAKA: Kerajaan secara prinsip bersetuju untuk memudahkan dan mempercepat proses kenaikan pangkat anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM). Langkah itu akan diselaraskan dengan skim kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perincian mengenai kaedah baharu tersebut dijangka diumumkan ketika sambutan Ambang Merdeka di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Ogos ini.
Menurut beliau, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz sedang meneliti mekanisme terbaik bagi melaksanakan perubahan berkenaan.
Anwar berkata, isu kenaikan pangkat pegawai ATM pernah dibangkitkan secara langsung kepadanya ketika mengunjungi Kem Syed Sirajuddin di Gemas pada bulan lalu. Beliau menyampaikan perkembangan itu dalam Program Semarak Kenegaraan bersama ATM di Kem Terendak.




