Pada saat ramai yang meraikan dan memberi doa buat pasangan pengantin baru pengarah dan pelakon berkaliber, Sabri Yunus dengan pelakon Angeline Tan, ada isu ditimbulkan tentang pernikahan mereka.
Isu pernikahan mereka ditimbulkan oleh seorang ulama, Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjari dalam satu ceramah baru-baru yang mendakwa pasangan yang dinikahkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin itu tidak memenuhi ucapan ijab dan qabul yang sepatutnya.
Pernikahan pasangan yang digelar ‘Pi Mai Pi Mai Tang Tu’ merujuk kepada sitkom lakonan mereka pada tahun 90-an dulu bagaimanapun dilaporkan sah meski Sabri hanya menyebut ‘aku terima nikah’, bukan seperti kebiasaan yang didengar ‘aku terima nikahnya’.
Tidak mahu isu tersebut terus menimbulkan salah faham dan perdebatan dalam kalangan masyarakat, Sabri, 62, tampil ‘bersuara’.
Menerusi sebuah catatan yang agak panjang, bintang Pok Ya Cong Codei itu antaranya menyifatkan tuduhan beliau dan isteri yang memeluk Islam dengan nama Ardini berzina kerana pernikahan tidak sah adalah sangat berat.
“Saya secara peribadi sedar apa akan berlaku pada sesetengah pihak bila kami buat keputusan untuk bernikah di Perlis dan memohon untuk diakadkan oleh Yg Berbahgia Datuk Mufti sendiri.
“Saya ada sebab tersendiri memilih Perlis. Akan tetapi saya tidak menyangka isu lain, isu yang saya tak terbayang pun oleh akal fikir saya.
“Seorang ustaz dgn jelas dan terang mengata( menuduh) pernikahan kami tidak sah. Dan terus membuat kesimpulan kami akan berzina. Berat tuduhan itu.. juga dalam video yg sama dikatanya qabul yang mengelirukan.. siapa yang keliru?”, tulis Sabri seperti dilihat Gempak dari perkongsian di Facebook.
Sabri kemudian menjelaskan majlis pernikahan mereka dihadiri hampir 25 tetamu yang menurutnya tidak ada sesiapa terkeliru dengan lafaz atau qabul yang diucapkan.
“Dalam majlis tu hanya perlu dua saksi walau hampir 25 orang yg hadir. Saksi dua orang tak keliru dan 25 hadirin juga tak keliru.. Orang diluar atau jauh dan tidak bersama dalam majlis tidak ada isu dalam penyaksian majlis itu.. dia dengar atau tidak, faham atau tidak bukan isu pengesahan.
“Soal pandangan mazhab dah jelas ada khilaf dan setujunya.. saya tak fikir ada orang tak faham bila qabul jawab saya setuju.. tak mungkin ada orang akan fikir setuju pada hal lain selain dari setuju hal nikah.. tak mungkin ada yg fikir dia setuju pasal kereta, pasal rumah.. jelas wali sebut , aku nikah.. bila qabul sebut setuju.. tentu saja menyambut pada kata nikah itu.. yang kata dia keliru itu ada lah orang yang sangat lemah pemikirannya atau yang sengaja melemahkan fikirannya,” tulis Sabri lagi panjang lebar.
Karyawan seni disegani itu juga meminta agar jangan mengheret beliau dan isteri dalam isu atau perseteruan yang tiada kene mengena dengan mereka.
“Janganlah kami dijadikan mangsa kebencian tuan kepada seteru tuan,” katanya lagi.
Terdahulu pernikahan Sabri dan Angeline Tan pada 14 Oktober lalu menjadi buah mulut dan viral kerana persahabatan mereka sebagai anak seni yang berakhir di jenjang pelamin setelah kedua-duanya bergelar duda dan ibu tunggal buat satu tempoh masa yang panjang.