PolitikTempatan

Ahli Parlimen tidak dibenarkan pasang peranti di meja, tiada lagi ‘live’ dari Dewan Rakyat – Speaker

Menurut Tan Sri Abdul Johari Abdul, semua Ahli Parlimen tidak lagi dibenarkan untuk menggunakan sebarang peralatan elektronik peribadi bagi tujuan menyiarkan siaran langsung sesi Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen tidak lagi dibenarkan untuk menggunakan sebarang peralatan elektronik peribadi bagi tujuan penstriman langsung sesi Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Abdul Johari Abdul berkata, ketetapan tersebut dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 35 (1), yang mana Ahli-ahli Parlimen yang berucap perlu mengarahkan sebarang ucapan kepada Pengerusi.

Jelas beliau, berlaku peningkatan trend memasang peranti seperti telefon bimbit sejak kebelakangan ini, dan tindakan Ahli Parlimen yang memandang peranti yang dipasang di meja, jelas tidak mematuhi peraturan mesyuarat berkenaan.

“Untuk memastikan Yang Berhormat mematuhi Peraturan Mesyuarat 31, saya dengan ini menetapkan bahawa Ahli Yang Berhormat tidak lagi dibenarkan untuk memasang sebarang peranti bagi membuat siaran langsung dalam Dewan Rakyat.

“Untuk makluman, ucapan Yang Berhormat boleh ditonton melalui siaran langsung sidang Dewan Rakyat di YouTube rasmi Parlimen Malaysia, RTM dan media massa yang lain. Diharap agar ahli Yang berhormat dapat memberi kerjasama dalam perkara ini,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Bagaimanapun, ketetapan yang dibuat oleh Johari dipersoalkan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee yang menyebut Peraturan Mesyuarat 35 (1) sebagai tidak munasabah.

“Alasan yang digunakan oleh Speaker adalah kerana tidak memandang Speaker. Saya rasa itu alasan yang dissimplified, semata-mata untuk menghalang Ahli Parlimen menggunakan peranti-peranti. Saya rasa ini tidak munasabah jika menggunakan peraturan tersebut.

“Kita berada dalam zaman era media yang sophisticated (canggih). Saya rasa Parlimen ini harus bergerak ke arah itu dan bukan bergerak ke belakang.

“Jadi penggunaan peranti saya rasa patut digalakkan dan tidak menjadikan Peraturan Mesyuarat 35 (1) sebagai alasan untuk menghalang Ahli Parlimen. Saya harap keputusan Speaker boleh dirujuk bagi mengangkat martabat Parlimen dalam penggunaan alat peralatan yang lebih canggih,” katanya.

Johari kemudian menyarankan mana-mana Ahli Parlimen termasuk Ronald untuk mengemukakan kepada jawatankuasa jika tidak berpuas hati, bagi tujuan meminda Peraturan Mesyuarat.

Beliau pada masa sama mengakui, siaran langsung adalah sesuatu bagus kerana selari dengan perkembangan teknologi yang moden tetapi tindakan tersebut seolah-olah lebih mengutamakan penonton berbanding berbincang masalah rakyat di Dewan Rakyat.

“Ini sesuatu yang tidak baik. Sebab itu saya minta bila datang sini Yang Berhormat harus menyelesaikan masalah dengan meletakkan keutamaan untuk rakyat.

“Audiens (penonton di media sosial) satu hal. Jadi untuk audiens ambillah di YouTube ataupun RTM dan diubahsuai. Saya ingat itu tak ada masalah,” katanya lagi.