Tempatan

Saarani Mohamad: Saya Bersedia Beri Keterangan Jika Dipanggil SPRM

Saarani berkata setakat ini beliau tidak menerima sebarang panggilan daripada SPRM berkaitan kes itu. 

Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak bersedia untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika dipanggil bagi penyiasatan berkaitan kes penipuan status tanah rizab Melayu yang melibatkan kawasan seluas lebih daripada 600 hektar pada tahun 2012.

Saarani berkata setakat ini beliau tidak menerima sebarang panggilan daripada SPRM berkaitan kes itu.

“Tiada masalah (beri kerjasama)…kalau SPRM panggil untuk beri keterangan, kita beri keterangan.

“Bermula 2004 saya jadi Exco kerajaan negeri, terhenti sekejap 2008, sambung balik 2009 hingga 2018. Kalau (kes) berlaku dalam tempoh itu, kalau nak panggil saya, saya bersedia untuk beri kerjasama kepada SPRM,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 di sini hari ini.

Sebelum ini, Saarani pernah mengetuai beberapa jawatan termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Perladangan, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Modal Insan serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyatakan bahawa suruhanjaya itu mungkin akan memanggil beberapa saksi tambahan untuk memberi keterangan mengenai kes penipuan status tanah rizab Melayu yang berlaku. Azam menyatakan bahawa saksi-saksi yang mungkin dipanggil termasuk bekas Exco kerajaan negeri serta petugas Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak yang berkhidmat pada masa tersebut.

Pada 30 April yang lalu, bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik PTG Perak didakwa di Mahkamah Sesyen di Ipoh atas tuduhan menipu status tanah rizab Melayu seluas 649.2 hektar di Mukim Sitiawan, Manjung, 12 tahun yang lalu. Pada 28 Mei, seorang pengarah urusan syarikat hartanah telah ditahan oleh SPRM dan ditempatkan di bawah tahanan selama tiga hari berkaitan dengan kes tersebut, tetapi dibebaskan pada 30 Mei.

Apabila ditanya tentang status dan usaha kerajaan negeri berkenaan tanah tersebut, Saarani menyatakan bahawa tanah itu masih dikekalkan sebagai rizab Melayu, walaupun dimiliki oleh sebuah syarikat bukan Melayu.

Sumber: BERNAMA