Jenayah

Penipuan Melalui WhatsApp: PDRM Bongkar Sindiket ‘Job For Old Timer

Datuk SeriRamli mengumumkan bahawa mereka telah mengesan aktiviti sindiket yang menawarkan pekerjaan melalui aplikasi WhatsApp dengan menggunakan mesej ‘Job For Senior’ atau ‘Job For Old Timer’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengumumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya mengesan sindiket penipuan yang menyasarkan golongan warga emas dengan menawarkan pekerjaan sambilan dalam talian sebagai ejen tempahan hotel.

Beliau menjelaskan bahawa sindiket terbabit menggunakan aplikasi WhatsApp untuk menyebarkan mesej ‘Job For Senior’ atau ‘Job For Old Timer’ dan mangsa dikehendaki membuka akaun di laman sesawang lynxoasis.com bagi menyelesaikan tugasan yang diberikan.

“Mangsa berminat akan diminta membuka akaun di laman sesawang lynxoasis.com dan menyelesaikan tugasan tempahan hotel dengan menggunakan wang mangsa terlebih dahulu dengan jaminan akan dipulangkan semula beserta komisen enam hingga 10 peratus bergantung tugasan diselesaikan.

“Melalui laman sesawang itu mangsa akan dapat melihat wang komisen mereka meningkat, namun apabila ingin mengeluarkan wang, sindiket akan mengenakan pelbagai bayaran tambahan sekali gus mengakibatkan kerugian lebih besar kepada mangsa,” katanya.

Ramli berkata setakat ini pihaknya menerima 21 laporan polis membabitkan kes penipuan terbabit dengan melibatkan nilai kerugian RM752,100.00.

Dalam kes berasingan, Ramli berkata pihaknya menumpaskan sindiket penipuan pelaburan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah dengan penahanan 18 individu dalam serbuan berasingan di beberapa negeri pada 4 dan 5 Mei lepas.

Beliau berkata kesemua individu terdiri 12 lelaki dan enam wanita warga tempatan berusia antara 30 hingga 71 tahun itu ditahan dalam operasi dijalankan di sekitar Sabah, Perak dan Selangor.

Berdasarkan siasatan, sindiket ini beroperasi sejak 2019 dengan menawarkan pelaburan kononnya berkaitan IKS Sabah.

“Sindiket ini juga menggunakan nama Jabatan Perdana Menteri untuk meyakinkan mangsa-mangsa bahawa pelaburan adalah sah dan menggunakan aplikasi Whatsapp sebagai medium berkomunikasi selain perjumpaan bersemuka yang turut dilakukan dengan mangsa terlibat.

“Sindiket ini menawarkan pulangan yang tinggi dalam bentuk hibah antaranya melalui pelaburan RM1,000, pelabur dijanjikan keuntungan RM200,000 dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Ramli menyatakan bahawa individu yang telah ditahan disyaki memegang peranan sebagai dalang, moderator dan pemilik akaun keldai yang digunakan oleh sindiket penipuan tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa mangsa yang tertipu telah melakukan deposit wang melalui pemindahan ke beberapa akaun keldai yang dimiliki oleh syarikat dan perniagaan tetapi tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.

Setakat ini, pihak polis telah menerima 15 laporan yang melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM2.98 juta berhubung kes ini.

Beliau berkata 28 kad debit pelbagai bank, 24 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua komputer riba dan sebuah tablet dirampas dan 15 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM69,796.90 turut disita di bawah Seksyen 50(1) AMLATFPUAA 2001.

Penyitaan di bawah Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 juga dibuat terhadap sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dianggarkan bernilai RM75,000.00 selain membeku 38 akaun bank (RM108,131.93) di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001.

“Kesemua individu yang ditahan sedang disambung reman masing-masing sehingga hari ini, esok dan lusa. Siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan,” katanya.

Sumber: BERNAMA