TempatanJenayah

Rosmah Bebas 12 Tuduhan Pengubahan Wang Haram RM7 Juta dan 5 Kes LHDN

Hakim K Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Rosmah untuk membatalkan semua kes itu. – Foto fail/Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Khamis daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim K Muniandy membuat keputusan itu selepas menerima permohonan Rosmah, 73, untuk membatalkan semua pertuduhan berkenaan.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Sementara itu, lima tuduhan lain melibatkan kegagalan mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri. Kegagalan ini didakwa bertentangan dengan Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 tanpa alasan munasabah, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 112 akta yang sama.

Kesalahan-kesalahan ini didakwa berlaku antara 4 Disember 2013 hingga 8 Jun 2017 di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, serta antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018 di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur.

Walaupun bebas daripada tuduhan ini, Rosmah masih menghadapi prosiding rayuan terhadap hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta yang dijatuhkan oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) atas tiga tuduhan rasuah melibatkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.