KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Turkmenistan, Rashid Meredow, untuk membincangkan pelbagai isu dua hala yang menjadi kepentingan bersama.
Menurut hantaran di laman Facebook Kementerian Luar Malaysia pada Rabu, antara perkara yang dibincangkan adalah cadangan penubuhan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama antara Malaysia dan Turkmenistan.
Kedua-dua pihak turut meneroka peluang kerjasama dalam sektor ekonomi, termasuk di luar bidang tradisional seperti minyak dan gas.
Selain itu, perbincangan juga memberi fokus kepada persiapan bagi menyambut lawatan rasmi Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow, ke Malaysia pada 18 dan 19 Disember. Lawatan ini adalah yang pertama sejak beliau dilantik sebagai presiden pada Mac 2022.