KUALA LUMPUR: Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SGGMSR) bersama wakil daripada 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah membuat laporan polis terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu berhubung isu Batu Puteh.
Jurucakap gabungan itu, Shahbudin Embun, berkata laporan itu bertujuan meminta pihak polis menyiasat sama ada tindakan bekas Perdana Menteri tersebut untuk tidak meneruskan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) melibatkan unsur kelalaian, salah guna kuasa, atau kegagalan mematuhi prosedur.
“Keputusan ini memberi kesan besar terhadap kedaulatan negara kerana Malaysia kehilangan peluang untuk mempertahankan Batu Puteh. Rakyat berhak mengetahui mengapa keputusan ini dibuat secara unilateral dan siapa yang bertanggungjawab sepenuhnya atas kehilangan peluang untuk mencabar keputusan ICJ tersebut,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi semalam.
Dalam laporan yang diedarkan kepada Ahli Parlimen pada 5 Disember lalu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyelidik pengendalian kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan mencadangkan siasatan jenayah terhadap Dr Mahathir. RCI mendapati bekas Perdana Menteri itu mungkin sengaja mempengaruhi Jemaah Menteri ketika itu untuk tidak meneruskan permohonan semakan, meskipun perunding antarabangsa berpandangan bahawa permohonan tersebut mempunyai peluang untuk berjaya.
Selain itu, Shahbudin memaklumkan bahawa NGO itu turut membuat laporan polis pada Ahad lalu terhadap seorang penulis blog yang didakwa menghina dan memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain di media sosial.
“Sejak kebelakangan ini, penulis blog tersebut sering membuat kenyataan fitnah terhadap Perdana Menteri,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman, mengesahkan menerima kedua-dua laporan tersebut.