JenayahTempatan

Polis didakwa rompak jongkong emas RM500,000

Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki warga Bangladesh. -Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak seorang lelaki warga Bangladesh bulan lalu.

Koperal Muhammad Arieff Marhalim, 40, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Berdasarkan pertuduhan, dia bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak Robin Miah dengan mengambil jongkong emas seberat 1,499.81 gram bernilai RM580,345.26, wang tunai RM7,000, dan telefon bimbit Redmi Note 13, yang berada dalam kawalan mangsa.

Kesalahan itu didakwa berlaku di Jalan Pudu, Dang Wangi, pada 26 November lalu antara jam 12.25 tengah hari hingga 3.15 petang. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin. Namun, peguam Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya masih berkhidmat dan menanggung keluarga termasuk tiga anak.

Hakim Izralizam membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Januari 2025 untuk sebutan semula kes.