GlobalTempatan

Pelantikan Thaksin sebagai penasihat dilihat jambatan penghubung ASEAN – Mohamad

Peranan Thaksin sebagai penasihat adalah tidak rasmi, namun, beliau memiliki pengaruh besar di Thailand dan diterima oleh Amerika Syarikat, selain mempunyai hubungan erat dengan China, kata Mohamad

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, dilantik sebagai penasihat tidak rasmi bagi membantu Malaysia dalam peranannya sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan. Pelantikan ini dilihat sebagai langkah memperkukuh kerjasama ASEAN dengan kuasa besar global.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Thaksin, yang berpengaruh di Thailand, turut diterima baik oleh Amerika Syarikat dan mempunyai hubungan rapat dengan China.

“Walaupun peranannya tidak rasmi, pengaruh Thaksin yang besar di Thailand serta hubungan baiknya dengan AS dan China menjadikannya jambatan penghubung penting untuk ASEAN.

“Beliau dan beberapa individu lain bukan sebahagian daripada kumpulan formal. Mereka adalah kenalan lama Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang boleh berbincang dan berkongsi pandangan mengenai hala tuju ASEAN,” katanya dalam sesi pertemuan media sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 malam tadi.

Pelantikan Thaksin, dicadangkan oleh Malaysia dan dipersetujui Thailand, diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama rakan sejawatannya, Paetongtarn Shinawatra, di Putrajaya semalam.

Malaysia akan secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN bermula 1 Januari 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, yang mencerminkan aspirasi untuk mewujudkan ASEAN yang bersatu dan makmur.

Mohamad turut memaklumkan bahawa tokoh-tokoh lain bagi peranan serupa akan diumumkan kemudian.

“Penasihat ini bukan untuk ASEAN secara formal, tetapi kepada Perdana Menteri sebagai Pengerusi ASEAN. Ini bukan kumpulan rasmi atau segmen baharu dalam ASEAN,” jelasnya.

Sesi pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin; dan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Datuk Zanariah Zainal Abidin.

Antara yang hadir juga termasuk Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj, serta wakil organisasi media, ketua pengarang, editor kanan, wartawan kanan, dan ahli Foreign Correspondents Club.