Tempatan

Runtuhan tebing Sungai Kelantan: Bomba jalankan pemantauan berkala

Semalam, runtuhan berlaku di tebing Sungai Kelantan berhampiran sebuah pangsapuri dan pusat penginapan, ketika tinjauan di Kota Bharu, 16 Dis 2024

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan menjalankan rondaan berkala bagi memantau pergerakan tanah di tebing Sungai Kelantan berdekatan sebuah pangsapuri dan hotel di Jalan Post Office Lama yang runtuh semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kelantan, Mohd Wildan Azhari, berkata pemantauan dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku runtuhan susulan. Pihak bomba juga telah memasang pita keselamatan untuk menghalang orang awam menghampiri kawasan berisiko itu.

“Orang ramai dinasihatkan agar menjauhi kawasan tersebut kerana bimbang masih berlaku pergerakan tanah yang boleh mendatangkan risiko,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, tinjauan Bernama mendapati masih ada individu yang mendekati kawasan runtuhan untuk merakam video, gambar dan membuat siaran langsung melalui TikTok, walaupun pita keselamatan telah dipasang.

Sementara itu, pemilik D’ Ridel Cafe, Muhammad Adam Luqman Mazlan, 26, berkata kedainya yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian masih beroperasi seperti biasa kerana belum menerima arahan penutupan.

“Selama lebih 10 tahun saya berniaga di sini, ini kejadian runtuhan pertama yang berlaku. Alhamdulillah, kedai saya masih selamat untuk beroperasi. Namun, saya berharap pihak berkuasa segera menyelesaikan isu ini kerana bimbang kejadian lebih buruk berlaku,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan runtuhan sepanjang hampir 50 meter berlaku di tebing Sungai Kelantan pada kira-kira 1 tengah hari, menyebabkan laluan pejalan kaki dan kawasan rekreasi runtuh setinggi hampir 10 meter.