PUTRAJAYA: Raptai penuh bagi Perarakan Panji-Panji sempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1, berjalan lancar hari ini. Latihan tersebut melibatkan 25 pegawai dan 503 anggota lain-lain pangkat dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Muhammad Firdaus Sa’ad, sebagai persiapan untuk acara utama yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.
Pada Sabtu nanti, lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong akan diarak, iaitu Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia, dan Panji-Panji Tentera Udara Diraja Malaysia. Panji-panji ini merupakan anugerah tertinggi daripada Yang di-Pertuan Agong dan amat dihormati oleh setiap anggota Rejimen Askar Melayu Diraja, melambangkan taat setia mereka dalam mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Panji-Panji ini juga merupakan lambang kehormatan, kemegahan, semangat, serta ketaatsetiaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berbelah bagi kepada Raja dan negara. Salah satu acara istiadat pada Sabtu ialah tembakan kehormatan 21 das, yang akan dilakukan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) di bawah pimpinan Mejar Hafizan Mat Ghani.
Acara seterusnya ialah formasi lintas hormat oleh lima pesawat helikopter yang membawa lima bendera, iaitu Jalur Gemilang, ATM, Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Formasi ini akan diketuai oleh Mejar Mohd Fazruzaman Md Faril dari Skuadron 10 TUDM.
Antara pemimpin yang dijangka hadir dalam istiadat perarakan ini termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, serta Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohammad Ab Rahman. Upacara bersejarah ini turut akan disaksikan oleh duta-duta asing, untuk memperlihatkan ATM sebagai pasukan yang boleh dipercayai, setia, dan sentiasa bersedia berjuang demi raja dan negara.