TempatanPendapat

[KOLUMNIS] Industri pertahanan Malaysia: Menongkah arus perubahan

Kontinjen dari Angkatan Tentera Malaysia mengambil bahaian dalam acara perbarisan dan perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Sembilan di Jalan Yam Tuan, Seremban, 31 Ogos lalu.

MALAYSIA sebagai sebuah negara yang terdiri daripada tiga wilayah utama – Semenanjung, Sabah dan Sarawak – secara keseluruhannya mempunyai keluasan tanah sekitar melebihi 323,000-kilometer persegi.

Namun dari sudut perbelanjaan untuk pertahanan di ruang udara, darat dan laut, Malaysia pada 2023 hanya membelanjakan sekitar ASD4.7bilion, atau bersamaan dengan RM20.586 bilion kalau mengikut nilai pertukaran mata wang semasa.

Ini bersamaan dengan nilai 1 peratus berbanding keluaran dalam kasar negara (KDNK).

Secara relatifnya, jika dibandingkan dengan negara-negara lain di rantau ini, Malaysia hanya mengatasi Filipina yang membelanjakan sekitar ASD4.3 bilion. Namun harus diingat keluasan tanah Filipina hanya menjangkau sekitar 343,000-kilometer persegi.

Indonesia yang mempunyai keluasan tanah sekitar 1.9 juta kilometer persegi, telah membelanjakan ASD9.3 bilion, dan Thailand dengan keluasan 513 ribu kilometer persegi, menyediakan peruntukan tahunan ASD7.3 bilion.

Bila dibandingkan dengan Singapura yang mempunyai keluasan tanah sekitar 728-kilometer persegi, negara tersebut kekal unggul dalam kategori perbelanjaan industri pertahanan tertinggi ketimbang Malaysia, Filipina, Indonesia dan Thailand. iaitu sebanyak ASD11.6 bilion.

Satu angka yang cukup signifikan untuk menggambarkan betapa seriusnya Singapura dalam memodenkan aset-aset ketenteraan bagi tujuan mempertahankan kedaulatan negara mereka.

Namun begitu, masa hadapan industri pertahanan negara tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan keluasan wilayah dan sempadan semata-mata.

LANDSKAP PERTAHANAN MALAYSIA UNTUK 2024

Memetik pandangan bekas penganalisis kanan International Institute for Strategic Studies (IISS) Asia, Dr. Tim Huxley, cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan perbelanjaan industri pertahanan negara sekitar 10 peratus bagi tahun 2024, adalah sesuatu yang di luar jangka.

Berdasarkan situasi semasa, beliau berkata, ketegangan di sebahagian wilayah di bawah kedaulatan Malaysia semakin memuncak dan sentiasa tercabar.

“Tuntutannya terhadap sebahagian daripada kawasan Laut China Selatan telah mendapat tekanan dari China, yang sentiasa dilihat menggunakan taktik zon kelabu untuk mengganggu usaha negara untuk memproses sumber minyak dan gas yang sememangnya terletak di dalam zon ekonomi eksklusif Malaysia.

“Selain itu, negara ini juga sentiasa menghadapi cabaran daripada kumpulan penyeludup, lanun, dan kumpulan pengganas yang terdapat di Laut Sulu berhampiran. Negara-negara jiran seperti Indonesia dan Singapura sudah pun melaksanakan program pemodenan ketenteraan yang hebat,” katanya dalam satu artikel bertarikh 8 September 2023.

Namun, kata Huxley lagi, di sebalik komitmen Anwar untuk lebih berjimat-cermat dalam perbelanjaan negara, peningkatan perbelanjaan pertahanan termasuk penyelenggaraan dan perolehan aset baharu mutakhir ini adalah sesuatu yang agak mengejutkan buat beliau.

Peningkatan perbelanjaan itu, ujarnya lagi, membolehkan kerajaan Malaysia mengumumkan 43 lagi kontrak perolehan sewaktu Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada 2023 yang terdiri daripada – 18 Pesawat tempur ringan FA-50 Fighting Eagle buatan Korea Selatan, dengan 14 daripadanya akan dibina di Malaysia.

Dua pesawat peronda maritim ATR 72 dari Italy, yang bakal menyediakan kemampuan kawalan maritim dan udara jarak sederhana, dan tiga dron pemantauan tempur berketinggian sederhana oleh Turki, yang bakal memberi nilai tambah kepada ATR 72 dengan menyediakan liputan maritim dan udara yang berterusan.

MASA HADAPAN INDUSTRI PERTAHANAN MALAYSIA

Masa hadapan industri pertahanan Malaysia sedang giat dimurnikan selari dengan perubahan serta landskap semasa dunia dan rantau Asia Tenggara.

Antaranya, menerusi Kertas Putih Pertahanan Negara, industri pertahanan mendapat perhatian secara khusus apabila Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang sedang dibangunkan turut mencakupi lima teras utama iaitu – pembangunan modal insan, pembangunan teknologi, pembangunan industri, keupayaan berdikari dan tembusi pasaran global.

Bagi memastikan DIPN dapat dilaksanakan dengan baik, lima inisiatif akan dilakukan Kementerian Pertahanan iaitu – pemantapan kerangka strategi ekonomi untuk sains, teknologi dan industri pertahanan, penstrukturan semula organisasi berkaitan industri pertahanan, penubuhan Jawatankuasa Pelaburan Pertahanan, merangsang research and development (R&D) dan inovasi melalui pembiayaan mampan dan pengukuhan program pembangunan bakat Anggota Tentera Malaysia (ATM).

ANCAMAN KESELAMATAN ‘BAHARU’

Selain itu, sejajar dengan kepesatan ekonomi digital rantau Asia Tenggara, ancaman keselamatan baharu seperti ancaman siber juga berpotensi untuk mendatangkan kemudaratan yang lebih besar kepada negara dan juga rantau ini.

Perkembangan pesat ekonomi digital Asia Tenggara yang bernilai sekitar ASD1 trilion menjelang 2030 amat menuntut inisiatif serius dan konsisten Kerajaan bagi melindungi infrastruktur digital dan siber yang ada.

Memetik Menteri Pertahanan Republik Singapura, Ng Eng Hen, kejadian jenayah siber di Asia Tenggara dari tahun 2021 hingga 2022 meningkat kepada 82 peratus. Didasari realiti tersebut, Kementerian Pertahanan Republik Singapura, secara konsisten berpendirian bahawa ancaman terhadap teknologi siber, jika tidak diperangi dengan sewajarnya akan memberi kesan negatif langsung kepada fungsi infrastruktur-infrastruktur kritikal dan memecah-belahkan fabrik sosial sesebuah negara.

Oleh yang demikian, pada sidang media selepas melancarkan Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan, Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyatakan bahawa “Banyak negara-negara maju telah memberikan perhatian serius kepada ancaman keselamatan ‘baharu’ seperti keselamatan siber, apatah lagi apabila melihat kemampuan penggodam yang berupaya melumpuhkan aktiviti ekonomi dan infrastruktur penting lagi kritikal seperti kesihatan dan pengangkutan sesebuah negara.”

Oleh yang demikian, adalah dilihat bahawa pembangunan DIPN dan juga pelaksanaannya akan berupaya mempercepat modenisasi industri pertahanan negara untuk sentiasa siap-siaga bagi mendepani cabaran keselamatan tradisional, bukan tradisional dan juga ancaman-ancaman keselamatan ‘baharu’, termasuklah dan tidak terhad kepada ancaman di Laut China Selatan dan Laut Sulu.

Malaysia sebenarnya berada di posisi hadapan dalam memerangi ancaman keselamatan ‘baharu’ tersebut. Pada tahun 2021, berdasarkan National Cyber Security Index (NCSI) dan ASEAN Digital Integration Index (ADII) untuk rantau Asia Tenggara, Malaysia telah meletakkan dirinya di tangga pertama mengatasi Singapura dalam beberapa aspek keselamatan siber seperti inisiatif perlindungan servis digital, memastikan perpindahan data yang selamat serta inisiatif-inisiatif perlindungan keselamatan siber yang lain.

MENONGKAH ARUS PERUBAHAN

Perubahan-perubahan global dan serantau yang berlaku, dalam konteks pertahanan dan keselamatan amat memerlukan keanjalan pihak yang berkuasa, bagi menyesuaikan diri dan meningkatkan kapasiti pertahanan yang sewajarnya.

Ancaman kepada kedaulatan, kedamaian dan kestabilan negara tidak terhad kepada ancaman tradisional dan tidak tradisional sahaja, namun ia juga merangkumi ancaman keselamatan ‘baharu’ yang sedang dan akan berlaku pada masa hadapan, terutama sekali ancaman siber.

Sejajar dengan itu, pemerkasaan industri pertahanan negara menerusi Dasar Industri Pertahanan Negara (DISN) dan juga inisiatif-inisiatif pelaksanaannya yang didukung oleh Kementerian Pertahanan bakal mempercepat pemodenan dan kesiapsiagaan Malaysia bagi mendepani kerancuan keselamatan dalam tahun-tahun mendatang.

Adalah diharapkan agar industri pertahanan Malaysia yang diperkasakan pada masa ke masa akan kekal relevan lagi berupaya dalam menongkah arus perubahan landskap pertahanan dan keselamatan dunia serta rantau ini.

* Penulis ialah wartawan Astro AWANI.

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.