
JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga emas mengalami kerugian sebanyak RM206,900 selepas didakwa menjadi mangsa sindiket penipuan “phone scam” pada Julai tahun lalu. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Balveer Singh Mahindar Singh, menjelaskan bahawa wanita berusia 64 tahun itu menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Komunikasi, memaklumkan bahawa mangsa terlibat dalam kes siber. Namun, mangsa menafikan dakwaan tersebut.
Mangsa kemudian dihubungi oleh dua individu lain yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, “Tuan Omar” dan “Inspektor Khoo Lee Feng”, yang mendakwa dia terlibat dalam siasatan jenayah penggubahan wang haram. Mangsa diminta memberikan maklumat akaun banknya, termasuk nombor pas pengesahan transaksi (OTP), kepada “Tuan Omar” kononnya untuk tujuan siasatan. Dia turut diarahkan untuk merahsiakan perkara ini sehingga mendapat arahan selanjutnya.
Pada 6 September (Jumaat), mangsa membuat semakan akaun dan mendapati terdapat 12 transaksi pemindahan wang yang dibuat ke enam akaun berbeza, dengan jumlah keseluruhan RM206,900, bermula dari 14 September hingga 14 November tahun lalu.
Mangsa percaya dia telah ditipu dan membuat laporan polis pada 1.31 tengah hari semalam. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Pihak polis juga sedang menyiasat penglibatan keldai akaun, dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terlibat.
