Tempatan

Pusingan Akhir MotoGP 2024 Dibatalkan, Litar Sepang Siap Sedia Sekiranya Diperlukan

Azhan Shafriman berkata setakat ini, belum ada sebarang perbincangan diadakan antara SIC dan penganjur perlumbaan, Dorna, berhubung perkara berkenaan.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mungkin tidak akan menjadi tuan rumah pusingan penutup Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) yang dijadualkan berlangsung di Valencia, kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif. Beliau menyatakan bahawa setakat ini, tiada sebarang perbincangan diadakan antara SIC dan penganjur perlumbaan iaitu Dorna mengenai perkara tersebut dan maklumat lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Namun, Azhan menegaskan bahawa Malaysia bersedia untuk menganjurkan pusingan kemuncak tersebut sekiranya penganjur memerlukan penggantian untuk Litar Ricardo Tormo. “Jika mereka memberikan kami peluang untuk menjadi tuan rumah, kami bersedia. Jika perlumbaan diadakan di sini, mungkin pada bulan Disember. Tetapi buat masa ini, tiada sebarang perbincangan mengenainya, mungkin mereka sedang mencari litar lain… mungkin di Eropah,” katanya.

“Mereka boleh mengadakan perlumbaan di Malaysia tetapi secara teknikal, tayar yang dihasilkan untuk setiap litar adalah berbeza. Jadi, untuk kembali ke Malaysia, tayar baharu perlu dibuat yang memerlukan masa sekitar sebulan – dua minggu untuk menghasilkan tayar dan dua minggu untuk membentuk tayar,” tambahnya kepada pemberita di SIC.

Semalam, Dorna mengumumkan bahawa perlumbaan pusingan penutup Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim 2024 yang dijadualkan di Valencia pada 15-17 November ini telah dibatalkan akibat banjir besar yang menyebabkan kerosakan besar dan mengorbankan lebih 200 nyawa.

Menurut penganjur, lokasi baharu untuk perlumbaan akhir akan diumumkan dalam masa terdekat.