Global

Kemenangan Trump Mungkin Bantu Selesaikan Isu Gaza dan Rusia-Ukraine, Kata Penganalisis

Trump dilihat memiliki rekod mudah berunding dan ia dibuktikan dengan pertemuannya bersama Putin dan Kim Jong Un semasa pentadbirannya sebelum ini manakala Harris hanya akan meneruskan dasar Biden. 

Beberapa konflik global, khususnya isu di Gaza serta kemelut di Rusia dan Ukraine dijangka dapat diselesaikan segera jika calon Republikan, Donald Trump memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada 5 November ini.

Penganalisis Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Malaya, Collins Chong Yew Kiat berpendapat bahawa manifesto Trump untuk mencapai keamanan sejagat boleh dipercayai berdasarkan pertemuannya dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin semasa pentadbirannya yang lalu.

“Orang ramai mungkin melihat Trump sebagai tidak memberikan manfaat kepada keamanan global disebabkan karakternya tetapi jika kita meneliti semula pentadbirannya sebelum ini, beliau telah berunding secara langsung dengan Putin serta pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

Trump juga menyatakan semasa berkempen bahawa jika beliau menang, beliau akan menyelesaikan isu Rusia-Ukraine secepat mungkin dan ini adalah satu harapan baru untuk Trump. Apa yang kita boleh harapkan adalah kerjasama dapat diadakan di Gaza dan secara umumnya di seluruh kawasan Asia Barat untuk meredakan ketegangan politik global,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada Astro AWANI dalam program Fokus Minggu Depan pada Sabtu. Dalam pada itu, Collins tidak menafikan kebolehan calon Demokrat, Kamala Harris dalam menangani isu global tetapi gerak kerjanya dilihat tidak progresif seperti Trump.

Malah, katanya, Harris hanya dilihat sebagai penyambung kepada dasar yang ada di bawah Joe Biden jika beliau menang dalam pilihan raya nanti, yang akhirnya tidak membawa kepada usaha keamanan global seperti yang diharapkan oleh masyarakat dunia.

Beliau menyimpulkan bahawa kemenangan Harris atau Trump tetap tidak akan mengubah fakta bahawa ia pasti akan memberi kesan kepada pergerakan pasaran modal, komoditi dan mata wang yang secara tidak langsung akan memberi impak kepada perdagangan global termasuk di Malaysia.