Silibus pendidikan di peringkat pengajian tinggi bagi industri berkaitan kanak-kanak kini tidak boleh lagi hanya memfokuskan kepada penghasilan guru tadika semata-mata. Sebaliknya, ia perlu dikembangkan selaras dengan keperluan masa kini.
Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin menyatakan bahawa industri berkaitan kanak-kanak meliputi pelbagai aspek dan penyediaan tenaga mahir harus lebih menyeluruh kerana kanak-kanak adalah aset penting untuk negara.
Oleh itu, beliau menyatakan bahawa kolej universiti tersebut sedang menjalin perkongsian strategik dengan industri-industri tertentu untuk memastikan pelajar lepasan institusi itu mendapat pendedahan terbaik dan bersedia memenuhi kehendak semasa.
“Kita bersedia menawarkan program baharu iaitu berkaitan industri kanak-kanak di dalam negara kita. UCMI merupakan yang pertama mempelopori bidang ini dan kita lihat industri kanak kanak ini sebagai agenda negara.
“Sebab itu kita perlukan program yang sesuai dengan keperluan pasaran. Kerjasama dengan industri satu contoh, kerana industri akan memberi maklum balas kepada kita, sediakan ruang pembelajaran, apakah bentuk pendidikan yang sesuai untuk anak-anak di masa depan.
“Ini merupakan satu smart partnership yang perlu ada, dan insya-Allah akan dikembangkan dengan lebih ramai lagi rakan yang akan memainkan peranan supaya input itu ada,” katanya lagi.
Taufiq menyatakan perkara tersebut selepas merasmikan penutupan Karnival Robotik UCMI 2024 di Batu Caves, pada Sabtu. Karnival tersebut merupakan sebahagian daripada latihan penganjuran majlis bagi pelajar UCMI dan telah menerima sambutan menggalakkan dengan kehadiran sekitar 1,000 ibu bapa dan anak-anak.
Salah seorang jawatankuasa penganjur yang juga pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak UCMI, Nurul Aqilah Mohd Jainuddin berpendapat bahawa penstrukturan semula silibus berkaitan industri kanak-kanak akan mempersiapkan mereka untuk menghadapi alam pekerjaan di zaman ini.
“Tak semestinya menjadi guru tadika sahaja. Sebab, dunia untuk diploma pendidikan kanak kanak menyeluruh, merangkumi pelbagai aspek.
“Sebab itu kita kita kena buka kepada masyarakat. Pendidikan kanak kanak bukan (sahaja untuk) jadi guru tetapi ada pelbagai industri di luar sana,” katanya lagi.