Sukan

Mohd Shahdam Abdul Aziz Akan Buktikan Kekurangan Fizikal Bukan Halangan untuk Menang Pingat Emas SUKMA

Mohd Shahdam berkata bahawa pengalaman bertanding di pentas final Kejohanan Remaja Dunia di Bangkok menentang peninju dari Belarus merupakan persiapan terbaik untuk bersaing di SUKMA akan datang. Gambar: MSN Penang

Kekurangan fizikal tidak menghalang atlet Muay Thai dari Pulau Pinang, Mohd Shahdam Abdul Aziz untuk menetapkan sasaran meraih pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di Sarawak bulan depan.

Pada edisi sebelumnya di Perak, atlet berusia 20 tahun ini yang kehilangan pergelangan tangan kiri akibat kemalangan mesin tebu semasa kecil telah berjaya meraih pingat perak setelah tewas kepada wakil Perak yang juga juara dunia, Mohd Rifdean Masdor dalam final kategori 45-48 kilogram (kg).

“Saya rasa tak ada halangan (kudung) sebab memang minat. Sekarang pun dengan persiapan kali ini memang bagus dan latihan semua cukup.

“Sebelum ini saya dapat pingat perak, jadi kali ini, saya rasa 100 peratus yakin dengan diri boleh buat. Cuma tinggal nak rangkul emas sahaja,” katanya kepada Bernama di sini.

Mohd Shahdam yang bekerja sebagai penghantar makanan separuh masa menyatakan bahawa pengalamannya bertanding di final Kejohanan Remaja Dunia di Bangkok menentang peninju dari Belarus adalah persiapan terbaik untuk bersaing di SUKMA nanti.

Sementara itu, bagi kategori wanita, Nur Afrina Mohd Firaheez juga bersemangat untuk menyumbang pingat kepada kontinjen Pulau Mutiara dalam penampilan sulungnya di pentas SUKMA ke-21.

“Untuk SUKMA kali ini dengan pencapaian saya, saya sasarkan pingat perak. Kalau ada rezeki emas, tetapi kalau dapat pingat pun sudah bagus.

“Saya ada juga sertai beberapa kejohanan seperti kejohanan kebangsaan dan kejohanan antarabangsa di Thailand. Jadi dengan persiapan kali ini, saya rasa dah bersedia,” kata pelajar Sekolah Menengah Al-Ikram, Tasek Gelugor itu.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad Muay Thai Pulau Pinang Abdul Basri Mohd Bukhori, 38, berkata prestasi atlet ketika ini berada pada tahap terbaik diikuti dengan program yang lebih tersusun berbanding persiapan SUKMA edisi lepas.

“Saya memang yakin dan bersemangat sebab atlet menunjukkan prestasi, komitmen dan disiplin yang baik. Teknik mereka pun dah semakin baik dan keputusankita pergi di beberapa kejohanan pun memberangsangkan, jadi kali ini kami akan lawan habis-habisan,” katanya.

Pengurus pasukan, Mohd Hilme Ibrahim menyatakan bahawa dengan persiapan terkini termasuk kem latihan yang dilaksanakan, beliau yakin pasukannya mampu memberikan saingan sengit kepada lawan dan meraih kemenangan di temasya dwitahunan kebangsaan tersebut.

“Kita buat persiapan ini dengan semua atlet duduk dalam kem terus selama dua bulan dan kita bawa jurulatih dari Thailand dibantu juga tiga jurulatih kita. Bagi saya, dengan persiapan yang kita buat ini makin meningkatlah (prestasi) dan kita berharap berterusan sehingga SUKMA,” katanya.

Skuad Muay Thai Pulau Pinang menyasarkan untuk meraih satu emas, satu perak dan dua gangsa dalam SUKMA ke-21 dengan menampilkan 17 atlet dalam kesemua kategori terdiri daripada sembilan kategori lelaki dan tujuh kategori perempuan.

Sebagai rekod, pasukan Muay Thai Pulau Pinang sebelum ini membawa pulang satu perak dan satu gangsa.