Jenayah

Guru Berusia 25 Tahun Ditipu Sindiket, Terpaksa Pinjam RM128,000

Mangsa diberitahu bahawa nombor telefon yang digunakan telah menyebarkan pautan tidak sah di kawasan Negeri Perak.

Seorang guru wanita mengalami kerugian RM135,150 setelah menjadi mangsa sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Komunikasi Digital dan polis. Malangnya, wanita berusia 25 tahun itu terperdaya hingga terpaksa membuat pinjaman peribadi sebanyak RM128,000 yang kemudian dilesapkan oleh penipu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata kejadian malang tersebut berlaku selepas mangsa menerima panggilan daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai dari bahagian penyekatan rangkaian, Jabatan Komunikasi Digital pada 2 Julai lalu.

Menurutnya, mangsa dimaklumkan bahawa nombor telefon yang digunakan telah menyebarkan pautan yang tidak sah di kawasan Negeri Perak.

“Panggilan telefon tersebut kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek menyamar sebagai pegawai polis kononnya bagi tujuan siasatan.

“Suspek mengarahkan mangsa membuat pemindahan wang ke akaun diberikan bagi tujuan siasatan,” katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Yahaya berkata, bimbang berdepan tindakan undang-undang, mangsa akur dengan arahan suspek apabila membuat pinjaman peribadi RM128,000 dalam tempoh dua minggu untuk urusan itu.

“Mangsa juga menggunakan wang simpanannya dan telah membuat 11 transaksi bayaran ke enam akaun bank berlainan dengan jumlah keseluruhan RM135,150.

“Mangsa menyedari ditipu selepas membuat semakan melalui satu aplikasi berkaitan penipuan atas talian sebelum membuat laporan polis di sebuah balai di Rompin,” katanya.

Yahaya berkata, orang ramai dinasihatkan agar membuat semakan dengan pihak polis atau agensi berkaitan sekiranya menerima panggilan yang meragukan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

“Orang ramai juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.