PolitikTempatan

PRN: Syed Saddiq ajak Adam Adli, Fadhli Shaari debat hala tuju anak muda

Syed Saddiq berkata, beliau akan mewakili MUDA dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), sementara PH-BN diwakili Adam Adli (kiri) serta PN diwakili Ahmad Fadhli (kanan) – Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mempelawa pimpinan tertinggi anak muda mewakili Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk mengadakan perdebatan mengenai hala tuju anak muda.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau akan mewakili MUDA dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), sementara PH-BN diwakili oleh Ketua Pemuda PKR, Adam Adli serta PN diwakili oleh Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari.

Jelas beliau, cabaran debat tersebut sebagai usaha menyahut cadangan mengangkat politik idea dan solusi agar rakyat dapat menilai hala tuju serta tawaran parti masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

“Dalam bab ini saya ingin mencadangkan rakan-rakan media, yang dapat bersama memberikan platform kepada debat berkenaan hala tuju anak muda di antara saya mewakili parti MUDA dan PSM, PH-BN diwakili oleh saudara Adam Adli, dan PN diwakili oleh saudara Fadhli Shaari.

“Kedua-dua mereka merupakan pimpinan tertinggi anak muda blok politik masing-masing,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Jelas Ahli Parlimen Muar itu, cadangan debat berkenaan bukan bertujuan memalukan atau membunuh karakter individu tertentu.

Sebaliknya, tegas Syed Saddiq ia untuk sama-sama menunjukkan bahawa anak muda boleh membawa politik baharu dalam negara.

“Perbahasan idea, cadangan, dan solusi supaya (rakyat) dapat menilai. Menang atau kalah, akhirnya rakyat yang menang kerana kita tahu hala tuju parti gabungan masing-masing.

“Sebab itu saya sebagai Presiden MUDA ingin mencadangkan supaya pimpinan PN dan PH-BN bersetuju dengan cabaran debat ini,” ujarnya lagi.

Syed Saddiq menambah pimpinan muda perlu menyahut cabaran menormalisasikan budaya debat, dan tidak membiarkan hanya pimpinan tertinggi seperti Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sahaja yang berbuat demikian.