PolitikTempatan

PRN Selangor: Azmin tak pertahan Bukit Antarabangsa, pindah ke Hulu Kelang

Mohamed Azmin dijangka berdepan calon PKR, bekas ADUN Bukit Melawati yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli di DUN Hulu Kelang. – Gambar fail

PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos depan.

Sebaliknya, bekas Menteri Besar Selangor itu dipertaruhkan di kerusi DUN Hulu Kelang.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Majlis Pengisytiharan Calon PN Selangor di Taman Medan, malam ini.

Mohamed Azmin berdepan calon PKR, bekas ADUN Bukit Melawati yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli di DUN Hulu Kelang.

Mohamed Azmin pernah menjadi Adun Hulu Kelang pada 1999 namun tewas pada 2004 kepada calon BN.

Beliau kemudian berpindah ke Bukit Antarabangsa pada 2008 dan mempertahankan kawasan itu sehingga sehingga PRU14.

Bekas Menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri itu menang kerusi DUN Bukit Antarabangsa atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 dengan majoriti lebih 25,000.

Sementara itu, Setiausaha PN Selangor, Muhammad Hilman Idham yang juga penyandang kerusi DUN Gombak Setia mempertahankan kerusi tersebut.

Ini sekali gus menyaksikan Muhammad Hilman dicabar oleh Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin di Gombak Setia.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Julai sebagai tarikh penamaan calon, manakala pengundian awal ditetapkan pada 8 Ogos dan Hari Mengundi pada 12 Ogos depan.