Sukan

Faisal Halim digantung empat bulan

Hukuman itu susulan kenyataan media yang dibuat pemain itu selepas aksi Liga Super menentang Sabah FC pada 27 April lepas. – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Pemain sensasi Selangor FC Muhammad Faisal Halim digantung empat bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), menurut Selangor FC menerusi kenyataan malam ini.

Ia susulan kenyataan media yang dibuat pemain itu selepas aksi Liga Super menentang Sabah FC pada 27 April lepas.

Namun, hukuman penggantungan itu berlangsung sebulan dahulu, bermula semalam (25 Julai) hingga 23 Ogos ini, manakala bakinya ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pemain berusia 25 tahun itu selama setahun bermula 24 Ogos.

“Semalam, wakil kelab dan pemain hadir di hadapan Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk perbicaraan tatatertib. Pada hari ini, Selangor telah dimaklumkan mengenai keputusan Jawatankuasa Tatatertib tersebut.

“Oleh itu, beliau tidak boleh disenaraikan untuk perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) (29 Julai), Kuala Lumpur City (8 Ogos), Negeri Sembilan (13 Ogos) dan kedua-dua perlawanan Piala Malaysia menentang PDRM FC (3 dan 19 Ogos),” menurut kenyataan itu.

April lepas, Muhammad Faisal yang turut dikenali sebagai Mickey, menyatakan kekecewaannya terhadap perjalanan perlawanan menentang Sabah tersebut dan berharap ia lebih adil.

Pada aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu, Selangor tewas 1-2 dengan gol tunggal disumbangkan Muhammad Faisal.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman menerusi kenyataan berasingan berkata pemain itu dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media) menerusi kenyataan yang dikeluarkannya ketika sesi temu ramah media selepas perlawanan itu.

“Bagaimanapun, Faisal tetap diberikan peluang membuat rayuan rasmi terhadap hukuman penggantungan yang dikenakan ke atasnya itu untuk dibawa ke Jawatankuasa Rayuan FAM.

“Pada kesempatan ini juga, FAM ingin menasihatkan kepada pemain-pemain bola sepak yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia supaya lebih berhati-hati ketika memberikan kenyataan media dan mengambil pengajaran daripada kes ini,” katanya.

Beliau berkata bagi satu lagi kes membabitkan pengadil perlawanan ketika aksi Piala FA 2023 menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 26 Jun lepas, Mohamad Faisal dan seorang lagi pemain Selangor Ahmad Khuzaimi Piee hanya diberikan amaran keras.