PolitikTempatan

PRN: Dakwa Sanusi mangsa ancaman, cubaan PN tagih simpati – Saifuddin

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ditemui media ketika turun padang menyantuni peniaga dan masyarakat di Pasar Billion sempena kempen Pilihan Raya Negeri hari ini. 

ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) dilihat kini mula menagih simpati rakyat dengan mendakwa Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjadi mangsa ancaman keselamatan apabila tidak hadir ke beberapa siri ceramah sejak akhir-akhir ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, reaksi beberapa pimpinan Pas dalam kempen ceramah mereka sangat berbeza dengan watak Muhammad Sanusi yang garang dan ‘gung ho’ atau bersifat agresif.

“Nampaknya reaksi terakhir malam tadi itu adalah reaksi semacam mencipta simpati, ‘play victim’ bukan watak menteri besar yang selama ini garang dan ‘gung ho’.

“Isunya adalah tidak dapat hadir, tidak dapat muncul (kononnya) kerana ada maklumat tentang ancaman dan ini bukan kali pertama,” katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan walkabout bersama calon Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris, di Pasar Besar Alor Setar pada Isnin.

Hari ini media melaporkan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi dinasihatkan tidak hadir ke ceramah kempen pilihan raya negeri (PRN) bagi memastikan keselamatan beliau terjamin.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebelum mengakhiri Ceramah Mega Perikatan Nasional Kedah di Taman Ria, Sungai Petani, Ahad malam yang sepatutnya turut dihadiri Muhammad Sanusi.

Ahli Parlimen Alor Setar itu mendakwa, Muhammad Sanusi dinasihatkan tidak berada di pentas ceramah kerana ada ‘perangkap’ yang dipasang oleh musuh.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) berkata keadaan itu menunjukkan Muhammad Sanusi kini seorang yang defensif.

Bagaimanapun beliau menasihatkan agar kepimpinan PN yang berasa keselamatan diri mereka terancam sepanjang tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ini membuat laporan polis bersama maklumat dan bukti yang lengkap.