PolitikTempatan

PRN: BN, PH jelajah lima negeri, lancar jentera 15 Julai di Kedah

Zambry memaklumkan, keputusan itu dicapai selepas Dewan Tertinggi BN selesai bermesyuarat pada Isnin malam.

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan Program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan bermula 15 Julai depan di Kedah.

Jelajah julung-julung kali yang menterjemahkan kesatuan antara kedua-dua gabungan itu kemudian akan diteruskan di Pulau Pinang pada 16 Julai 2023, Kelantan (23 Julai), Negeri Sembilan (27 Julai 2023) dan Terengganu (28 Julai 2023).

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dicapai selepas Dewan Tertinggi BN selesai bermesyuarat pada Isnin malam.

Menurutnya, mesyuarat itu dipengerusikan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Sehubungan itu, adalah diharapkan sokongan rakyat bagi menjayakan program ini dan seterusnya menyokong calon-calon Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Dalam mesyuarat itu juga tegas Zambry, BN mengarahkan persiapan dan memperkukuhkan semua jentera parti di setiap peringkat bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri.

“Dewan Tertinggi juga menghormati keputusan dan komitmen parti komponen BN bagi memastikan kemenangan di semua kawasan yang ditandingi.

“Kerjasama di antara parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan akan diperkukuh dan dipertingkatkan,” ujarnya.

Zambry turut memaklumkan, Dewan Tertinggi BN komited mempertahankan prinsip yang termaktub di dalam Perlembagaan bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran dalam negara.