GEORGETOWN: Isu pengguran nama besar dalam DAP yang tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-15 merupakan perkara biasa di dalam parti.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, proses itu perlu dalam memastikan parti kekal relevan dan mempunyai nafas baharu.
“Kita perlu berikan peluang kepada muka-muka baharu kerana ada calon sebelumnya telah pun berkhidmat selama beberapa penggal.
“Kalau kita gagal laksana proses ini maka parti tidak akan lagi relevan dan ketinggalan.
“Kita tidak mahu bila parti sudah ketinggalan baru kita nak buat perubahan.” katanya semasa sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon-Calon DAP Pulau Pinang dan Kedah pada Selasa.
Mengulas lanjut, Loke menyatakan proses tersebut bukanlah perkara yang asing apabila setiap kali menjelang pilihan raya.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, dirinya sendiri akan diganti apabila sudah tiba masanya.
“Lim Kit Siang juga sudah bersara dalam arena politik dan begitu juga saya pada masa akan datang.
“Sebagai Setiausaha Agung (DAP) saya akan pastikan perkara ini (pertukaran) akan terus berlaku untuk pastikan DAP terus relevan,” katanya lagi.
Ditanyai mengenai calon-calon muka baharu, Loke menzahirkan keyakinan bahawa partinya mampu memperoleh kemenangan.
Perkara itu katanya berikutan prestasi cemerlang yang dipamerkan Pakatan Harapan (PH) yang telah mentadbir Pulau Pinang selama 15 tahun.
Pada Selasa, nama Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P. Ramasamy tidak dicalonkan sebagai individu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15).
Keputusan itu sekali gus memperlihatkan beliau tidak akan lagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Selain Ramasamy, antara nama besar DAP yang digugurkan daripada bertanding adalah Ketua Wanita DAP, Chong Eng selepas parti itu menamakan Gooi Zi Sen (Daniel) untuk berentap di DUN Padang Lalang.