Tempatan

Polis Siasat Ancaman Bom Palsu, Menteri Pelancongan Beri Keterangan

Asmadi menyatakan bahawa insiden di bangunan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu masih dalam siasatan. Gambar: Sinar Harian

Polis telah merekodkan keterangan beberapa individu, termasuk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing bagi membantu siasatan insiden ancaman bom yang berlaku baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A Asmadi Abdul Aziz, menyatakan bahawa siasatan terhadap insiden di bangunan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya tersebut masih berjalan.

“Kes masih dalam siasatan. Setakat ini, keterangan menteri serta beberapa saksi telah diambil. Usaha mengesan suspek sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, polis mengesahkan bahawa bungkusan yang didakwa mengandungi bom dan dialamatkan kepada Tiong pada hari Rabu lepas adalah palsu.

A Asmadi menyatakan bahawa bungkusan tersebut, yang diterima pada pukul 11.19 pagi dan dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran dari Sungai Buloh mengandungi paip PVC serta pemasa yang menyerupai bom.

Sumber: BERNAMA