Tempatan

Polis sahkan laporan kematian 4 individu di konsert Subang Jaya

Hussein berkata, laporan polis membabitkan kesemua mangsa lingkungan usia 20 hingga 40 tahun itu dibuat oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). – Sinar Harian

SHAH ALAM: Polis mengesahkan menerima laporan mengenai kematian dua lelaki dan dua wanita tempatan yang menghadiri sebuah konsert di Bandar Sunway, Subang Jaya, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, memaklumkan bahawa laporan tersebut dibuat oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan melibatkan mangsa berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Beliau berkata, proses bedah siasat telah dijalankan hari ini, namun keputusan siasatan makmal masih ditunggu. Setakat ini, tiada kecederaan luaran dikesan, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Siasatan sedang diteruskan untuk menentukan jika terdapat unsur jenayah atau keracunan pada semua mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Ridzal Puat, di talian 03-56382122 atau pusat kawalan daerah di 03-78627222.