Sukan

Bekas pemain Kanada, Rob Friend, dilantik sebagai CEO pertama Harimau Malaya

Rob Friend bermula sebagai rakan kongsi pengurusan di DRG Investment Group, sebuah syarikat pelaburan dan pengurusan hartanah dari 2014 sehingga kini. – Foto FAM

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan pelantikan bekas pemain Kanada, Rob Douglas Friend, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan. Beliau akan menerajui struktur organisasi baharu untuk merevolusikan skuad Harimau Malaya.

Rob Friend mencatatkan 32 penampilan antarabangsa sepanjang kariernya, bermula pada 2003 ketika berusia 22 tahun hingga 2011 pada usia 30 tahun.

Dalam bidang korporat, Friend memulakan peranan sebagai rakan kongsi pengurusan di DRG Investment Group, sebuah syarikat pelaburan dan pengurusan hartanah, sejak 2014. Dari 2017 hingga 2021, beliau mengasaskan Toca Football Canada, sebuah syarikat teknologi latihan bola sepak, yang berjaya memperoleh pelaburan modal sehingga AS$150 juta.

Sejak 2019, Friend juga berkhidmat sebagai rakan kongsi pengurusan di SixFive Sports Fund, yang melabur dalam bola sepak profesional serta infrastruktur seperti pemilikan kelab, stadium, dan pembangunan kemudahan latihan.