Tempatan

Berhibur di Danok, gagal ujian air kencing setibanya di Malaysia

Penuntut universiti awam di utara tanah air (kanan) merupakan antara 16 individu yang ditahan dalam pemeriksaan sekatan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah dalam operasi ‘Ops New Year 2025’, malam tadi

BUKIT KAYU HITAM: Seorang pelajar universiti awam di utara tanah air adalah antara 16 individu yang ditahan dalam operasi sekatan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah sempena Ops New Year 2025, malam tadi.

Pelajar lelaki berusia 23 tahun itu ditahan sekitar jam 9 malam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) selepas ujian air kencing menunjukkan positif dadah jenis ganja. Pelajar dari Perak itu mendakwa ini adalah kali pertama mencuba dadah, selepas dipelawa pekerja sebuah kedai makan, dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya.

Menurut Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad, operasi bermula jam 6 pagi hingga tengah malam di pintu sempadan Malaysia-Thailand bertujuan mengesan penyalahgunaan dadah sempena Tahun Baharu 2025. Sebanyak 15 kenderaan diperiksa, dan 45 individu menjalani ujian air kencing, dengan 16 daripadanya didapati positif dadah.

Daripada mereka yang positif, 14 adalah lelaki dan dua wanita, berusia antara 18 hingga 39 tahun. Jenis dadah yang dikesan termasuk MDMA (ecstasy), Benzodiazepine (ubat penenang), THC (ganja), dan mitragynine (ketum). Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Khairul Anwar menyatakan, kebanyakan mereka yang ditahan adalah pengguna kali pertama atau mencuba dadah di tempat hiburan untuk berseronok. Beliau menegaskan bahawa intervensi awal penting untuk membantu individu ini sebelum terjebak dalam penagihan serius.

AADK berhasrat meningkatkan kekerapan operasi di sempadan negara untuk menangani penyalahgunaan dadah dan bahan seperti ketum serta memberikan peluang kepada mereka yang terlibat untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan.