NIBONG TEBAL: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Nur Aqifah Humaira Abdullah, meninggal dunia selepas dipercayai tersepit pada celah besi meja lipat di rumahnya di Taman Seri Putera.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Parit Buntar, Perak, pada Rabu. Kejadian berlaku sekitar jam 4.15 petang semalam ketika mangsa sedang bermain seorang diri di bahagian belakang rumah bandar (townhouse) yang disewa ibunya.
Ketika insiden, ibu, abang berusia 10 tahun, dan kakaknya, 9, berada di rumah. Mereka hanya menyedari kejadian itu apabila tidak mendengar sebarang bunyi dari arah tempat mangsa bermain.
Mangsa segera dibawa ke hospital dengan bantuan jiran, namun disahkan meninggal dunia ketika dirawat. Pihak forensik dan pegawai penyiasat telah melakukan siasatan di lokasi kejadian selepas menerima laporan. Mayat mangsa dijadualkan untuk bedah siasat pagi ini di Hospital Parit Buntar.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, mengesahkan insiden tersebut dan memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.