KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Kelantan, Perak, dan Johor kekal tidak berubah setakat jam 8 pagi ini, dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri berkenaan masih sama.
Di Perak, seramai 307 mangsa daripada 59 keluarga masih berlindung di PPS Dewan Kampung Asli Chinggung, daerah Muallim. Jabatan Pengairan dan Saliran Perak melaporkan paras Sungai Perak di Pasang Api, Bagan Datuk, berada pada tahap bahaya dengan bacaan 3.11 meter (m), melebihi paras normal.
Di Kelantan, jumlah mangsa juga kekal 38 orang daripada 10 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh, Rantau Panjang. Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang dilaporkan pada tahap amaran dengan bacaan 8.0m, berbanding paras bahaya 9.39m malam tadi, menurut portal Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran.
Di Johor, jumlah mangsa kekal 69 orang daripada 17 keluarga, ditempatkan di dua PPS, iaitu Sekolah Kebangsaan Gembut dan Balai Raya Kampung Perpat di daerah Kota Tinggi. Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani, menyatakan bahawa bacaan paras air di stesen Sungai Simpang Kanan, Parit Belemam, Batu Pahat, masih berada pada tahap amaran dengan bacaan 2.31m.