Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao telah meningkatkan usaha untuk meraih lebih banyak undi menjelang hari pengundian Sabtu ini.
Sock Tao yang berusia 31 tahun dan mewakili Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) menyatakan komitmen untuk terus bekerja keras dan tidak mengambil mudah tanggungjawab yang diberikan oleh pucuk pimpinan untuk mempertahankan kawasan DUN tersebut.
“Saya mempertingkatkan lagi aktiviti kempen dan akan bertemu seramai boleh pengundi di KKB bagi meningkatkan peluang kemenangan,” katanya ketika ditemui pada program Kopitiam Talk di sini hari ini.
Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga menggalakkan pengundi untuk keluar mengundi dengan bersama-sama memenuhi tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Kecil tersebut.
“Undi anda akan menentukan arah pembangunan KKB pada masa akan datang. Jadi adalah tanggungjawab pengundi dan orang KKB untuk memastikan pembangunan dan kesejahteraan terus terjamin di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau menolak dakwaan bahawa kempennya tidak mendapat sokongan daripada PKR seperti yang dituduhkan oleh beberapa pihak. Sebaliknya, beliau menyatakan bahawa kepimpinan parti tersebut di peringkat negeri atau pusat sentiasa membantunya dalam kempen.
“Ini satu dakwaan yang tidak benar. (Pengerusi PH Selangor yang juga Menteri Besar) Datuk Seri Amirudin Shari telah turun untuk bantu kempen…semalam saya juga menyertai satu forum yang dianjur PKR di mana Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar turut hadir,” katanya.
PRK tersebut menjadi gelanggang pertandingan empat penjuru yang melibatkan Pang, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).