Global

Arab Saudi Kenakan Penalti Berat Bagi Pelanggar Peraturan Musim Haji 2024

Pengumuman tersebut dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi melalui platform X.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi telah mengumumkan pelaksanaan penalti sebanyak 10,000 riyal (RM12,641) bagi sesiapa yang melanggar peraturan musim haji 2024, termasuk memasuki tujuh kawasan tanpa permit haji.

Melalui infografik yang dikongsi di platform X, tujuh kawasan yang ditetapkan termasuk Makkah, wilayah Tengah, Masayir, stesen kereta api Haramain di Rusayfah, pusat kawalan keselamatan, pusat pengasingan dan pusat kawalan keselamatan sementara.

“Pelaksanaan penalti ini akan berkuat kuasa dari 2 hingga 20 Jun depan,” jelas kementerian tersebut.

Menurut kementerian tersebut, penalti ini akan dikenakan kepada semua individu, termasuk warga tempatan dan rakyat asing yang ditahan akan dihantar pulang dan dilarang memasuki Riyadh untuk tempoh yang ditetapkan di bawah peraturan tersebut.

“Langkah tegas ini bertujuan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan para jemaah dalam melaksanakan Rukun Islam Kelima. Ia kekal menjadi keutamaan kami,” ujar kementerian itu lagi.

Difahamkan bahawa pelanggaran peraturan musim haji boleh mengakibatkan hukuman penjara selama enam bulan dan denda sehingga 50,000 riyal (RM63,096).