Global

Lintasan Kerem Shalom Dibuka Semula untuk Bantuan Kemanusiaan ke Gaza

Unit infantri dan kereta kebal IDF kini sudah berada di lintasan sempadan Rafah pada Selasa selepas rejim Zionis mula mara ke kawasan paling selatan Gaza itu. Gambar: AFP

Israel mendakwa telah membuka semula lintasan Kerem Shalom (Karim Abu Salem) pada hari Rabu untuk membolehkan bantuan kemanusiaan sampai kepada penduduk di Gaza, walaupun unit-unit kereta kebal bersama pasukan infantri telah memasuki kawasan selatan enklaf tersebut. Tindakan ini diambil empat hari selepas lintasan itu ditutup sebagai tindak balas terhadap serangan roket yang menyebabkan kematian empat anggota tentera Israel.

“Konvoi trak dari Mesir membawa bantuan termasuk bekalan makanan, ubat-ubatan dan alatan perlindungan yang disumbangkan komuniti antarabangsa telah tiba di lintasan sempadan itu,” ujar kenyataan bersama Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan COGAT di bawah Kementerian Pertahanan yang mengawasi hal ehwal awam penduduk Palestin.

Menurut kenyataan tersebut, penghantaran akan dilakukan selepas proses pemeriksaan selesai. Walau bagaimanapun, Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) telah mengesahkan bahawa lintasan Kerem Shalom masih berada dalam keadaan ditutup. Hal ini menimbulkan keraguan mengenai tindakan terkini rejim Zionis yang kini mengawal lintasan Rafah sejak hari Selasa selepas ditekan oleh komuniti antarabangsa untuk membuka koridor ke wilayah Gaza yang terkepung.

IDF juga telah mendakwa bahawa lintasan Erez yang menghubungkan Tel Aviv dengan utara Gaza telah dibuka untuk penghantaran bantuan kemanusiaan.

Dalam perkembangan yang berkaitan, rundingan untuk melaksanakan gencatan senjata telah disambung semula di Kaherah dengan kehadiran semua wakil pihak yang bertelagah.