Polis telah menyelamatkan tiga lelaki yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa di sebuah kilang yang memproses fucuk melalui Ops Pintas Mega di Kawasan Perindustrian Juru di sini, semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan bahawa ketiga-tiga individu tersebut merupakan warga asing yang disyaki telah menjadi mangsa perdagangan manusia.
“Betul kita (polis) ada selamatkan tiga lelaki yang dijadikan buruh paksaan dan siasatan dibuat di bawah Seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.
Operasi selama enam jam bermula 2 petang itu disertai sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) selain anggota Jabatan Tenaga Kerja, Majlis Bandaraya Seberang Perai, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Ketiga-tiga lelaki berusia antara 17 hingga 21 tahun itu dipercayai dipaksa bekerja sejak tiga bulan lepas dengan melakukan kerja memproses fucuk di kilang itu sembilan jam setiap hari.
Mereka diberi amaran oleh majikan untuk tidak meninggalkan kawasan kilang demi mengelakkan ditangkap oleh pihak berkuasa, dan dipercayai mereka bersetuju demi menerima upah bulanan.
Dalam operasi tersebut, sembilan warga asing termasuk empat wanita berusia antara 25 hingga 42 tahun yang disyaki bekerja di premis itu turut ditahan, selain seorang lelaki berusia 66 tahun yang merupakan majikan kilang.
Semua yang ditangkap telah dibawa ke IPD SPT untuk tindakan lanjut.
Sumber: BERNAMA