Bank Negara Malaysia (BNM) berancang untuk mengubahsuai dana khusus yang disediakannya untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) agar lebih sesuai dengan keperluan golongan tersebut.
Datuk Jessica Chew, Timbalan Gabenor BNM menyatakan bahawa setakat ini hanya satu pertiga daripada peruntukan sebanyak RM1.5 bilion untuk Kemudahan Automasi dan Pendigitalan PKS (ADF) telah digunakan.
“(Oleh itu) kami dalam proses menyusun semula dari segi merangka semula dan pelaksanaan dana-dana PKS ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan bertajuk ‘Peranan Kewangan Dalam Melaksanakan Pembaharuan Struktur’ di Simposium Sasana 2024 anjuran BNM di sini, hari ini.
ADF yang diwujudkan pada Mac 2020 bertujuan menggalakkan PKS rentas sektor untuk bertindak mengautomasikan proses dan mendigitalkan operasi bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan.
Mengulas selanjutnya, Chew berkata sambutan kurang memberangsangkan bagi dana itu berkemungkinan disebabkan ia tidak sejajar dengan tumpuan PKS.
“Ada kemungkinan mereka tidak di landasan pendigitalan. Oleh itu, masih banyak yang perlu dilakukan dari segi bagaimana untuk melaraskan keperluan berkenaan bagi PKS,” katanya.
Pada masa sama, kata Chew, bank pusat itu sedang mengusahakan agar dana di bawah BNM dapat dimanfaatkan menerusi cara berbeza bagi meraih kesan pengganda lebih ketara menerusi gabungan beberapa kekangan maklumat selain menggunakan tokenisasi aset bagi tujuan cagaran.
Beliau juga menegaskan bahawa sebahagian besar daripada pembiayaan PKS itu adalah daripada bank-bank.
“Pembiayaan bank untuk PKS adalah kira-kira separuh daripada portfolio jumlah pembiayaan perniagaan bank. Ini demi kepentingan bank-bank untuk terus memberi kemudahan kepada PKS,” katanya.
Bank Negara Malaysia juga menawarkan bantuan melalui Kemudahan Berteknologi Tinggi dan Hijau bernilai RM1.1 bilion untuk membantu PKS dan syarikat baru yang inovatif mengembangkan perniagaan mereka.
Ini termasuk pelaburan dalam sektor-sektor strategik seperti teknologi digital, teknologi hijau dan bioteknologi untuk memacu pemulihan ekonomi yang mampan.
Selain itu, Kemudahan Agro untuk meningkatkan pengeluaran makanan Malaysia dan eksport ditingkatkan sebanyak RM500 juta pada tahun 2023 meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM2.5 bilion.
Bank Negara juga menyediakan Kemudahan Permodalan Semula Perniagaan (BRF) dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion, yang membantu PKS untuk berkembang tanpa meningkatkan beban hutang semasa proses pemulihan ekonomi.
Sumber: BERNAMA