Global

Op Khas Pagar Laut: APMM rekod 121 tangkapan, rampasan bernilai RM9 juta

PUTRAJAYA: Sebanyak 121 tangkapan melibatkan 145 kes pelbagai kesalahan dengan rampasan bernilai RM9 juta berjaya direkodkan sepanjang pelaksanaan Op Khas Pagar Laut yang diadakan secara berfasa bermula 18 Mac dan berakhir 16 April lepas. Pemangku Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, menyatakan bahawa antara barangan yang dirampas ialah bot, ikan, barangan kawalan seperti minyak masak dan beras, serta barangan kontraban seperti rokok dan dadah.

“Kesalahan dikesan antaranya melibatkan kes di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63, Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sepanjang pelaksanaan Op Khas Pagar Laut fasa tiga, sebanyak 55 tangkapan melibatkan 69 kes dengan pelbagai kesalahan berjaya direkodkan. Tangkapan tersebut melibatkan:

  • 37 kes di bawah Akta Perikanan 1985
  • 3 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961
  • 9 kes di bawah Akta Imigresen 1959/63
  • 3 kes di bawah Akta Kastam 1967
  • 7 kes di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952
  • 8 kes di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002
  • 1 kes di bawah Kanun Keseksaan
  • 1 kes di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994

Saiful Lizan menyatakan bahawa Op Khas Pagar Laut akan diteruskan menerusi fasa empat dari 17 hingga 30 April ini, dengan fokus untuk mengukuhkan kawalan keselamatan di laut terutamanya di setiap titik ‘panas’ seluruh negara selepas sambutan Aidilfitri. Tumpuan akan diberikan terhadap semua aktiviti jenayah rentas sempadan, terutama kes melibatkan pendatang tanpa izin, penyeludupan kontraban, serta penyeludupan barang kawalan di sempadan perairan seluruh negara.

Sumber: Berita Awani