Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim menyatakan bahawa Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) kini diperluas untuk melindungi unsur nadir bumi (REE) dan galian.
Beliau menegaskan bahawa semua khazanah negara perlu dipelihara dan dilindungi daripada diceroboh dan diterokai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Selain aktiviti membanteras jenayah hidupan liar dan alam sekitar, OBK juga memberikan tumpuan terhadap usaha melindungi semua elemen khazanah negara termasuk REE dan galian yang kini menjadi fokus baharu,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu pada sidang media selepas mesyuarat OBK di Taman Negara di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Abdul Kadir juga memaklumkan bahawa pada bulan Jun lepas, operasi tersebut berjaya menggagalkan cubaan melombong emas secara haram berhampiran Taman Negara Kelantan dengan nilai rampasan dianggarkan sekitar RM700,000.
“Pasukan OBK juga telah menahan tiga lelaki warga Myanmar, seorang lelaki warga Thailand dan dua lelaki tempatan bersama jentera dan peralatan melombong.
“Kita akan sentiasa bertindak berdasarkan maklumat dan risikan serta tindakan akan dilakukan segera untuk melindungi khazanah negara,” katanya.
Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia kerana berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 21 kontena yang mengandungi 340,000 kilogram (kg) kayu spesies “African rosewood” serta sebuah kontena yang membawa lebih 10,000 batang kayu spesies “red sandalwood” di Pelabuhan Klang baru-baru ini, dengan nilai rampasan mencapai RM73 juta.
Setakat September lepas, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 240 kertas siasatan telah dibuka dan 221 individu termasuk 51 warga asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah menerusi OBK dengan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan melebihi RM122 juta.