Golongan kaya yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2025 masih mampu menampung perbelanjaan peribadi meskipun selepas dikenakan cukai tambahan dan dikecualikan daripada menerima manfaat subsidi.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menyatakan bahawa langkah kerajaan mengenakan cukai dividen dan menarik subsidi petrol bagi golongan ini adalah langkah yang baik dalam usaha merapatkan jurang ekonomi antara rakyat Malaysia.
“Mereka yang menjalankan aktiviti jual beli saham dan meraih dividen tinggi adalah kumpulan benar-benar mempunyai banyak lebihan pendapatan. Disebabkan itu, cukai dua peratus (bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000) adalah nilai yang mampu dibayar.
“Sama juga dengan subsidi petrol bersasar, kumpulan T15 yang secara purata berbelanja RM500 hingga RM600 untuk petrol, tetapi jika dikecualikan subsidi itu, maka perbelanjaan petrol ini mungkin akan meningkat kepada RM800 hingga RM900 dan mereka masih mampu untuk membayarnya,” katanya.
Menurutnya, keputusan untuk mengenakan cukai dividen dan menyasarkan subsidi petrol perlu dilihat dalam konteks usaha kerajaan untuk meningkatkan gaji minimum. Beliau juga menegaskan bahawa semua dasar ini bertujuan untuk merapatkan jurang ekonomi antara rakyat.
Pada masa yang sama, Ahmed Razman turut membayangkan kesan jika kerajaan tidak melaksanakan dasar tersebut dengan teliti. Jelasnya, hal ini mungkin akan memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan dan aktiviti ekonomi dalam negara yang melibatkan kumpulan golongan kaya tersebut.
“Persoalannya di sini, adakah tindakan tersebut bersifat regresif iaitu sama ada kumpulan maha kaya ini akan buat tindakan yang mungkin melakukan strategi tertentu untuk mengelak daripada cukai-cukai ini atau berhijrah ke luar negara,” soalnya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu, Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan mengumumkan cadangan untuk memperkenalkan cukai dividen sebanyak dua peratus ke atas pendapatan dividen yang melebihi RM100,000 yang diterima oleh pemegang saham individu bermula pada tahun taksiran 2025.
Anwar menjelaskan bahawa pertimbangan akan diberikan untuk mengecualikan pendapatan dividen daripada simpanan kerajaan seperti KWSP, amanah saham di bawah PNB serta pendapatan dividen dari luar negara.
Dalam pembentangan yang sama, Ahli Parlimen Tambun itu juga menjelaskan bahawa subsidi petrol dan pendidikan bagi golongan T15 akan disasarkan semula untuk meningkatkan aspek kesejahteraan lain bagi rakyat yang memerlukan.