Kementerian Pengangkutan (MoT) sedang berusaha dengan syarikat penerbangan dari Rusia untuk mengembalikan penerbangan terus dari Malaysia ke Rusia.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook menyatakan bahawa kerajaan mengalu-alukan jika ada syarikat penerbangan dari Rusia yang berminat untuk menawarkan perkhidmatan ke Malaysia.
“Kita sebelum ini sudah ada perbincangan dan sudah tentu akan ambil peluang pada mesyuarat ICAN kali ini untuk bincang bersama pihak penerbangan Rusia tetapi bergantung kepada syarikat penerbangan komersial Rusia itu,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Rundingan Penerbangan Awam (ICAN) 2024 di sini pada hari Isnin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan pada bulan September lalu bahawa Malaysia dan Rusia perlu merancang untuk memperkenalkan penerbangan terus antara kedua-dua negara bagi meningkatkan jumlah pelancong.
Malaysia menerima lebih 100,000 pelancong dari Rusia pada tahun 2023 yang dianggap sebagai peluang besar untuk menambah jumlah pelancong dari negara tersebut melalui penawaran lebih banyak penerbangan.
Loke menambah, kerajaan kini sedang berusaha untuk mendapatkan hak trafik udara baharu daripada lebih 30 negara untuk menggalakkan syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa mengembangkan operasi mereka ke Malaysia.
Sehubungan itu, kerajaan akan mengadakan rundingan mengenai perkhidmatan udara dan juga memperkemas serta mewujudkan Perjanjian Perkhidmatan Udara (ASA) dengan negara-negara yang terlibat.