
NEW YORK: Bilionair Elon Musk, yang sebelum ini manusia terkaya di dunia, memecah rekod baharu apabila pengasas Tesla dan pemilik Twitter itu menjadi manusia pertama dalam sejarah kerugian AS$200 bilion (RM880 bilion) daripada nilai kekayaan, demikian menurut Indeks Bilionair Bloomberg.
Kerugian besar hartawan itu terjadi selepas Musk, 51, pada 2021 menjadi manusia kedua yang mengumpul kekayaan melebihi AS$200 bilion, selepas pengasas Amazon, Jeff Bezos.
Musk, yang nilai bersihnya mencapai kemuncak pada November 2021 sebanyak AS$340 bilion (RM1.5 trilion), menyaksikan kekayaannya menjunam kepada AS$137 bilion (RM603 bilion) apabila saham Tesla merosot 65 peratus sejak setahun lalu.
Ia prestasi terburuk pengeluar kereta elektrik itu setakat ini.
“Jangan terlalu terganggu dengan kegilaan pasaran saham,” kata Musk dalam satu memo yang dilihat oleh CNBC.
“Apabila kita mempamerkan prestasi cemerlang berterusan, pasaran akan mengiktirafnya.”
Musk kehilangan takhta sebagai manusia terkaya di dunia awal bulan lalu, apabila gelaran itu diserahkan kepada Bernard Arnault, pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LVMH.
Sumber : BH Online
