Tempatan

KDN digesa jalankan siasatan secara adil tangani isu salah laku polis

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid

GEORGETOWN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa supaya tidak culas bagi memastikan wujud kesedaran undang-undang dalam kalangan anggota polis.

Ia susulan kejadian seorang pegawai polis disyaki merogol gadis bawah umur ketika melakukan siasatan berhubung dakwaan remaja itu dirogol bapa tirinya.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata, KDN juga tidak boleh terus ‘mandom’ (lembab) dan perlu menjadi pembela rakyat dalam hal salah laku polis serta salah guna kuasa.

Syerleena berkata, pihaknya berharap supaya penguatkuasaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) pada Jun tahun ini yang sudah disahkan Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution, dapat mencegah salah guna kuasa oleh pihak polis ketika menjalankan siasatan seumpamanya.

“Bagaimana seorang pegawai lelaki boleh dibiarkan bersendirian dengannya (mangsa)? Adakah ia termasuk dalam prosedur siasatan polis tanpa kehadiran pegawai perubatan atau pegawai wanita?

“Bukankah polis mempunyai prosedur yang sudah ditetapkan mengikut Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 dan Garis Panduan Khas bagi mengendali kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak?” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Syerleena juga berkata, polis perlu menjalankan siasatan secara adil tanpa menyebelahi anggota yang terbabit memandangkan ia adalah satu dakwaan yang sangat serius.

Katanya, pihak polis perlu sedar bahawa mereka tidak kebal dari tindakan undang-undang sehingga berani berbuat sesuka hati dan menyangka mereka akan terlepas begitu sahaja.

Terdahulu, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dipercayai menjadi mangsa rogol Pegawai penyiasat berpangkat Inspektor ketika berada dalam bilik pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan pada jam 6.30 petang Rabu lalu.

Suspek dikatakan mengambil kesempatan terhadap mangsa dengan menggunakan alasan bagi menjalankan siasatan terhadap remaja berkenaan yang sebelum itu membuat laporan mendakwa dirogol bapa tiri.

Sumber : BH Online