KAPTEN Argentina, Lionel Messi menegaskan tidak menyesal mengambil keputusan menyertai kelab Liga Bolasepak Utama (MLS) Amerika Syarikat, Inter Miami.
Malah, bekas tonggak juara Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) itu mengakui dia tidak sabar untuk menghadapi cabaran baharu bola sepak Amerika Syarikat.
Terdahulu pemain berusia 36 tahun itu tiba di Amerika Syarikat menjelang penampilannya sebagai pemain Inter Miami pada acara khas.
“Ya, sejujurnya saya amat gembira dengan keputusan kami sekeluarga buat ini. Malah, saya telah bersedia dan tidak sabar untuk menghadapi cabaran baharu di Amerika Syarikat.
“Mentaliti dan fokus dalam kepala saya tidak akan berubah dan saya akan cuba berikan terbaik di mana sahaja tubuh saya berada.
“Tekad saya adalah untuk memberikan yang maksimum untuk diri saya dan kelab, sekali gus mengekalkan prestasi pada tahap terbaik untuk terus beraksi di peringkat tertinggi,” kata Messi.
Sebagai rekod, Inter Miami sedang membuat persiapan untuk mengadakan acara khas untuk pengenalan pemenang Ballon d’Or tujuh kali di Stadium DRV PNK, Fort Lauderdale.
“Peminat akan dapat menikmati malam hiburan yang menarik, ucapan di atas padang dan banyak lagi,” kata kelab itu dalam satu kenyataan, sambil menambah kemasukan percuma untuk pemegang tiket musim.
Pemenang Piala Dunia Qatar 2022 itu akan disatukan semula dengan bekas rakan sepasukan di Barcelona, Sergio Busquets serta bekas jurulatih Argentina, Gerardo Martino di Inter Miami.
Messi dijangka membuat penampilan sulung dalam perlawanan Piala Liga menentang gergasi Mexico, Kelab Bolasepak Cruz Azul pada 21 Julai.
Sumber: Sinar Harian