Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Bank Pembangunan Islam (IsDB), Dr. Muhammad Al Jasser, hadir dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan IsDB. Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan, menyatakan bahawa MoU tersebut adalah lanjutan daripada lawatannya ke Pejabat IsDB di Jeddah pada tahun sebelumnya.
“Insya-ALLAH, MoU ini berupaya meningkatkan pembangunan kapasiti, perkongsian pengalaman dan pelaksanaan projek-projek teknikal secara bersama antara SC dan IsDB khususnya bagi memudah cara inovasi dalam teknologi kewangan Islam, menggalakkan aliran pelaburan asing ke dalam pasaran swasta dan pembangunan kewangan sosial Islam.”
“Usaha ini juga sejajar dengan matlamat ekonomi Madani untuk memastikan Malaysia menerajui kewangan Islam di peringkat dunia,” katanya dalam hantaran di platform X pada Isnin.”
Beliau menyatakan bahawa pemeteraian MoU tersebut berlaku selepas perbincangan bersama Muhammad yang berfokus pada usaha memperkuatkan kerjasama antara Malaysia dan IsDB terutama dalam memperkukuh peranan Pusat Keunggulan IsDB di Kuala Lumpur dalam inovasi kewangan Islam. Beliau turut mengesahkan kehadiran Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin; Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dalam mesyuarat tersebut.
“Hari terakhir di Riyadh saya mulakan dengan mesyuarat bersama Muhammad.”
“Ini selaras dengan peranan Malaysia yang sejak sekian lama telah menerajui pembangunan kewangan Islam, khususnya dalam aspek pembangunan produk kewangan Islam yang setanding produk kewangan konvensional.”
“Saya tegaskan kepentingan untuk mengembangkan usaha menerusi pembangunan produk kewangan Islam baharu berdasarkan prinsip maqasid syariah yang mengutamakan keadilan dan perkongsian risiko serta pulangan yang saksama,” ujar Anwar.