PolitikTempatan

Mas Ermieyati kekal Ahli Parlimen Masjid Tanah

Mahkamah Pilihan Raya Melaka mengekalkan kemenangan Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Parlimen Masjid Tanah. – Foto Facebook/Mas Ermieyati

AYER KEROH: Mahkamah Pilihan Raya Melaka hari ini mengekalkan kemenangan Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu sekali gus menolak petisyen difailkan bekas calon Barisan Nasional (BN) kerusi itu, Abdul Hakim Abdul Wahid yang mendakwa wujud unsur sogokan wang dan penjamuan ketika kempen PRU15, dengan kos sebanyak RM50,000.

Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat selepas menimbangkan penghujahan bertulis dan meniliti serta menghalusi keterangan 28 saksi sepanjang 13 hari perbicaraan berlangsung.

“Mahkamah berpendapat pempetisyen gagak membuktikan melampaui keraguan yang munasabah (bahawa) responden atau ejennya melakukan sogokan wang dan penjamuan seperti mana yang dikemukan sebagai dua alasan utama dalam petisyen berkenaan.

“Mahkamah ini turut menimbangkan kehadiran pada majlis penjamuan yang dianggarkan sekitar 500 orang tidak dapat mempengaruhi keputusan jumlah majoriti undi sebabyak 4,411 yang diperolehi oleh responden di kerusi parlimen itu,”katanya dalam hujah penghakiman.

Sementara itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengetuai barisan peguam Mas Ermieyati berkata, keputusan itu jelas membuktikan petisyen yang dikemukan tidak mempunyai asas yang konkrit.

“Pada peringkat awalnya, hakim yang terdahulu telah memutuskan bahawa kes petisyen itu tidak berasas dan petisyen ini telah menjalani satu tempoh perbicaraan yang agak panjang.

“Kami menghujahkan sepatutnya diberikan kos yang tinggi kerana dalam 13 hari perbicaraan, selama sembilan hari perbicaraan penuh diadakan dan ianya melibatkan 28 saksi,”ujarnya.

Abu Bakar pada penghakimannya turut menjelaskan berdasarkan peruntukan Seksyen 36(2) Akta Kesalahan Pilihan Raya, Mas Ermieyati telah dipikih sewajarnya sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah pada PRU15.

Sementara itu, Abdul Hakim diwakili barisan peguam yang diwakili Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Abdul Hakim pada 3 Januari lalu dilaporkan memfailkan petisyen itu atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada Pilihan Raya Umum (PRU15) lalu.

Media Kemudian melaporkan, Mas Ermieyati kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah selepas Mahkamah Tinggi Melaka menolak petisyen difailkan Abdul Hakim, bagi menafikan kemenangan berkenaan dengan kos RM20,000.

Bantahan awal yang difailkan oleh Mas Ermieyati sebagai responden, antara lain mendakwa petisyen tersebut difailkan di luar waktu ditetapkan.

Selain itu, Abdul Hakim selaku pempetisyen didakwa melakukan kesilapan kerana tidak menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam petisyen tersebut.

Mahkamah Persekutuan bagaimanapun memerintahkan petisyen berkenaan dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Pada PRU15 lalu, Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket PN, menang dengan majoriti 4,411 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan Abdul Hakim, Mutalib Uthman daripada parti MUDA dan Handrawirawan Abu Bakar daripada Gerakan Tanah Air (GTA).