Sukan

Manchester United Raih Satu Mata Penting di Anfield

Aksi Amad Diallo meraikan kejayaan menjaringkan gol kedua pasukan ketika perlawanan EPL antara Liverpool dan Manchester United di stadium Anfield, Liverpool, England, 5 Jan 2025. (Foto AP)

Amad Diallo menjadi pemain kunci apabila menjaringkan gol penyamaan yang membantu Manchester United bangkit mengikat pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan keputusan seri 2-2 di Stadium Anfield, awal pagi tadi.

The Red Devils membuka jaringan pada minit ke-52 menerusi rembatan kencang Lisandro Martinez yang menewaskan Alisson Becker. Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Cody Gakpo menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian, menjadikan skor 1-1.

Liverpool kemudian diberi sepakan penalti selepas bola terkena tangan Matthijs de Ligt, hasil semakan Video Bantuan Pengadil (VAR). Mohamed Salah dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk membawa The Reds mendahului 2-1 pada minit ke-70.

Namun, Amad Diallo sekali lagi mencuri tumpuan dengan jaringan penyamaan selepas menerima hantaran lintang Alejandro Garnacho, yang masuk sebagai pemain gantian. Diallo, yang sebelum ini menjaringkan gol kemenangan 2-1 menentang Manchester City, memastikan United tidak pulang dengan tangan kosong.

United hampir membawa pulang tiga mata, tetapi peluang emas Harry Maguire di depan gawang disia-siakan apabila rembatannya melepasi palang gol, menamatkan perlawanan dengan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

The Red Devils lebih banyak menyerang melalui bahagian sayap kiri, dengan 54% fokus serangan tertumpu di situ, berbanding hanya 27.9% di bahagian kanan, dalam usaha mereka memecahkan benteng pertahanan lawan.