WASHINGTON: Lebih 70 juta rakyat Amerika Syarikat (AS) diramalkan terkesan oleh ribut musim sejuk besar yang berpotensi membawa angin kencang, hujan salji lebat, dan suhu paling rendah dalam lebih sedekad.
Ribut yang bermula di kawasan tengah AS dijangka bergerak ke arah timur dalam beberapa hari, menurut Perkhidmatan Cuaca Nasional (NWS).
Menurut peramal cuaca AccuWeather, Dan DePodwin, ribut ini mungkin menyebabkan Januari menjadi bulan paling sejuk di AS sejak 2011. “Suhu yang jauh di bawah purata sejarah” berkemungkinan bertahan selama seminggu, tambahnya.
Pantai timur AS juga bakal merasai suhu rendah, dengan ribut dijangka tiba menjelang Ahad malam.
Susulan itu, darurat telah diisytiharkan di beberapa negeri termasuk Kentucky, Virginia, Kansas, Arkansas, dan Missouri. Kawasan yang jarang mengalami cuaca sejuk melampau seperti Mississippi dan Florida turut diberi amaran mengenai keadaan berbahaya yang bakal berlaku.
Sebanyak 30 negeri kini berada di bawah amaran cuaca, dengan ribut dijangka merentasi negara menuju ke timur. Bandar seperti Washington DC, Baltimore, dan Philadelphia sedang bersiap sedia menghadapi cuaca salji dan ais dari Ahad hingga Isnin.
Angin sejuk melampau juga dijangka melanda sebahagian tengah Kansas, dengan NWS Wichita melaporkan angin sejuk ekstrem hingga -20°F (-29°C) atau lebih rendah.
Menurut peta cuaca NWS, bandar Russell dan Salina dijangka mengalami angin paling sejuk pada pagi Isnin. Sementara itu, suhu di kawasan lain mula menunjukkan penurunan ketara.
Di Washington DC, NWS melaporkan suhu serendah 13.7°F (-10°C) di sekitar Lapangan Terbang Dulles, hab perjalanan antarabangsa utama berhampiran pusat bandar.
Syarikat penerbangan seperti American Airlines telah mengeluarkan amaran perjalanan untuk 46 lapangan terbang yang berpotensi terjejas, termasuk di Kansas, Missouri, Pennsylvania, dan New Jersey.
American Airlines turut menawarkan pengecualian caj perubahan tiket untuk penumpang yang terjejas akibat gangguan penerbangan. Delta, Southwest, dan United Airlines juga menyediakan perkhidmatan serupa kepada pelanggan mereka.