MANCHESTER United menghadirkan kejutan besar dan prestasi terbaik kelab tersebut penghujung musim apabila menafikan hasrat penyandang juara, Manchester City untuk merangkul kejuaraan Piala FA kali kedua berturut-turut di Stadium Wembley pada Sabtu.
Malah prestasi luar biasa menyaksikan The Red Devils yang sebelum itu mengakhiri saingan di kedudukan kelapan Liga Perdana Inggeris (EPL), ditebus dengan slot ke Liga Europa setelah menewaskan The Citizens, 2-1 dalam perlawanan akhir tersebut.
Biarpun begitu, pencapaian skuad kendalian Erik ten Hag menghadirkan Piala FA ke-13 dalam koleksi kelab yang dihimpit krisis kecederaan pemain sepanjang musim ketika menutup saingan 2023/24 dengan catatan 18 kemenangan, enam seri, 14 tewas, menimbulkan teka-teki kedudukannya pada musim 2024/25.
Mengulas perkara itu, ten Hag berkata: “Di sini (Manchester United), satu projek dalam menyediakan dan membangunkan pasukan saya.
“Apabila saya tiba, boleh dikatakan bahawa (Manchester United) dalam keadaan huru-hara.
“Dua trofi dalam dua musim, tiga final tidaklah begitu teruk.
“Dan hari ini kami bertambah baik, namun belum berada di tempat yang kami mahu.
“Jika mereka (Manchester United) tidak mahu saya lagi, saya akan pergi ke tempat lain dan memenangi trofi. Itulah apa yang saya lakukan.”
Pemain remaja Manchester United, Alejandro Garnacho dan Kobbie Mainoo membalas kepercayaan ten Hag apabila dua jaringan separuh masa pertama biarpun Jeremy Doku merapatkan kedudukan babak kedua sudah cukup memadamkan impian kejuaraan berganda skuad kendalian Pep Guardiola yang masih segar dengan status juara EPL sebelum saingan liga Inggeris melabuh tirai.
Kejayaan diraih anak buah ten Hag itu membolehkan The Red Devils menjulang Piala FA buat kali pertama sejak kali terakhir edisi 2016.
Sebagai rekod, Manchester United merupakan naib juara musim lalu selepas tewas 1-2 kepada Manchester City dalam perlawanan akhir di Stadium Wembley.